KekeluargaanTokoh dan Sirah

Al-Imam Haiwah bin Syuraih

CERITA AL-IMAM HAIWAH BIN SYURAIH Saya memang tidak akan dapat menjadi anak sehebat Al-Imam Haiwah bin Syuraih rahimahullah ( wafat 159 H), seorang ulama’ hadis yang sangat agung dan dimaqamkan di Mesir. Majlisnya dihadiri ribuan murid yang menuntut tinggalan agung Baginda sallallahu alaihi wasallam. Namun ketinggian budinya dengan ibunyalah yang menyebabkan beliau disebut-sebut di dalam sejarah.

Pernah satu hari ibunya datang ketika beliau sedang mengajar hadis. Kata ibunya kepada ulama’ besar ini:

“ Wahai Haiwah, cepat bangun dan tolong siatkan dan potongkan ayam untukku”

Apakah reaksi seorang imam besar hadis ini? Tidak tahukah ibunya bahawa anaknya sedang mengajar hadis di hadapan ribuan penuntut? Sang Imam terus bangun meninggalkan majlis hadis tersebut dan murid-muridnya bagi menyelesaikan urusan ibunya. Beliau membuat seperti apa yang diarahkan ibunya tersebut. MasyaAllah. Tidak hairan namamu disebut-sebut sehingga sekarang.

Tahukah kalian berapakah pendapatan Sang Imam ini berkat mentaati ibunya? Pendapatannya sebulan adalah sebanyak 60 dinar bersamaan RM 687 × 60 = RM 41220. Namun, kesemuanya akan disedekahkan kepada faqir miskin dan golongan yang memerlukan. Kesemuanya disedekahkan tanpa tinggal walau satu dirham sekalipun. Tetapi, setelah pulang ke rumah, jika Sang Imam menyelak hamparan tidurnya maka 60 dinar itu kembali ada kepadanya. Digantikan oleh Allah taala berkat ketaatannya kepada Allah dan kebaikannya kepada ibunya.

Pernah sekali beliau dilihat di dalam keadaan yang sangat dhoif. Tiada makanan yang mampu untuk beliau beli kerana ketiadaan wang. Maka seorang lelaki mengatakan kepada beliau:

“ Wahai Imam, mengapa engkau tidak berdoa kepada Allah taala semoga diberikan rezeki kepadamu?”

Beliau terus mengambil segenggam pasir ditangannya lalu melemparkannya ke arah lelaki tersebut. Pasir itu bertaburan dan yang kekal di tangannya telah bertukar menjadi emas.  Lalu beliau berkata kepada lelaki itu:

“Kamu nak lagi suruh aku berdoa kepada Allah taala setelah melihat perkara sebegini boleh berlaku?”

Maksudnya, Sang Imam ingin mengajar kepada lelaki tersebut agar jangan memandang kefakiran tersebut sebagai bala Allah taala kepadanya. Sedangkan kefakiran tersebut adalah cara untuk Sang Imam lebih berharap dan mengingati Allah Ta’ala.

Bagaimana Sang Imam boleh mendapatkan nikmat dan kelebihan sedemikian rupa?

Tidak lain hanyalah kerana ketaatannya kepada Allah dan Rasul serta kebaikkannya kepada Ibu dan Bapa beliau.  Semoga saya mampu menjadi seperti para ulama tersebut. Mentaati ibu bapa tanpa berbelah bahagi. Umur semakin meningkat maksudnya perjalanan kita menuju Allah taala semakin hampir. Semakin umur meningkat, semakin hampir kita merendah ke dalam bumi. Amal yang ada sudah tentu tidak mencukupi untuk membeli syurgaMu Ya Allah. Hanya cinta kepadaMu dan Baginda Rasul sallallahu alaihi wasallam serta ketaatanku kepada kedua ibu bapaku sahajalah yang mungkin melayakkan aku ke sana. Amin Ya Rabb

Artikel dipetik daripada : nazrulnasir.blogspot.com  

Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also

Close
Close