ArtikelCintaKeluarga

Bersanding menurut perspektif islam

SEJARAH DAN ASAL USUL PERSANDINGAN

Sejarah persandingan pula tidak diterangkan secara jelas di dalam kitab-kitab sejarah. Sebahagian mengatakan bahawa persandingan ialah adat yang dilakukan oleh bangsa Melayu sejak zaman dahulu. Sebahagian lagi mengatakan bahawa ianya merupakan adat yang diambil daripada India.Ini seperti yang diterangkan oleh De Jong (Religions in the Malay Archipelago, Oxford Univ. press, 1965) dan Joginder Singh (Tata Rakyat, Longman, 1978) dan mereka berpendapat ia adalah pengaruh Hindu.

HUKUM DAN PERBAHASAN

Jika dinilai pada maksud sebenar bersanding seperti yang diterangkan di dalam Kamus Dewan Edisi Keempat tersebut maka ianya adalah HARUS. Sekadar pengantin lelaki dan perempuan duduk bersebelahan maka tiada masalah padanya. Cuma jika dibahaskan daripada sudut adat dan budaya yang diamalkan sekarang seperti disediakan pelamin yang mahal, wanita berhias berlebih-lebihan serta tidak menutup aurat, adat bertepung tawar dan sebagainya maka perkara seperti ini perlu dibahaskan satu persatu secara terperinci.

PELAMIN

Berkenaan dengan pelamin yang mahal maka ianya tidaklah dituntut di dalam Islam. Walaupun kita kaya sekalipun maka tetap disarankan agar kita bersederhana di dalam berbelanja. Ramai yang menggunakan hujah bahawa pelamin sebegini perlu dilaksanakan sebagai kenang-kenangan untuk masa hadapan dan sebagainya. Hujah-hujah sebegini tidaklah boleh diterima pakai kerana lebih menjurus kepada hawa nafsu.

Hukum dan saranan Baginda sallallahu alaihi wasallam sepatutnya lebih kita turuti. Tetapi jika cuma disediakan tempat untuk bergambar bersama pengantin dan tempat tersebut dihias dengan seadanya, maka beberapa adab perlu diraikan. Antaranya ialah tidak berlaku percampuran bebas antara lelaki dan wanita, wanita wajib menutup aurat di hadapan lelaki yang ajnabi (yang boleh dikahwininya) dan begitu juga golongan lelaki ,wajib bagi mereka menutup aurat di hadapan wanita ajnabiah. Jika kesemua perkara ini diraikan maka tiadalah masalah padanya.

Kesimpulan tentang hukum pelamin ini ialah kita melarang berlakunya pembaziran dan percampuran lelaki dan perempuan yang berlaku seperti zaman sekarang. Tetapi jika semua perkara tersebut boleh kita elakkan maka hukumnya adalah HARUS.


Bagaimana pula dengan adat menepung tawar?

BERTEPUNG TAWAR DAN MENABUR BERAS KUNYIT

Ini merupakan adat turun-temurun yang dilakukan ketika majlis persandingan dilangsungkan. Sepanjang pembacaan saya tentang perkara ini, antara tujuan dilakukan perkara ini ialah untuk menambahkan semangat berdasarkan kekuningan padi kepada kedua pengantin. Terdapat juga jampi dan mentera yang tidak difahami bahasanya dengan tujuan menghalau roh-roh jahat dam sebagainya.

Jika perkara sebegini dilakukan maka hukumnya jelas HARAM. Sabda Baginda sallallahu alaihi wasallam, Diriwayatkan daripada Saidina Abu Hurairah radhiyallahu anhu katanya:

“Sesiapa yang mendatangi dukun dan bomoh ,malah membenarkan apa yang disebutkan oleh dukun atau bomoh tersebut, Sesungguhnya (orang-orang yang mendatangi bomoh dan dukun sebegini) telah mengingkari apa yang diwahyukan kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam.”

Perkara-perkara sebegini wajib ditegah berlaku di dalam masyarakat Muslim. Alternatifnya, kita boleh melaksanakan majlis doa selamat bagi mendoakan kepada kedua pengantin agar dipelihara oleh Allah taala daripada sebarang kecelakaan. Maka ini sangat-sangat dituntut di dalam Islam.

ETIKA PEMAKAIAN

Antara syarat-syarat pakaian bagi wanita dan lelaki ialah:

1. Mestilah pakaian tersebut daripada jenis yang menghalang daripada orang mengetahui warna kulitnya. Ini bermakna, seseorang tersebut tidak boleh memakai pakaian yang nipis sehingga orang boleh mengetahui warna kulitnya.

2. Mestilah pakaian tersebut menutup keseluruhan aurat lelaki dan wanita tersebut.

3. Mestilah pakaian yang dipakai tidak membolehkan orang mengetahui bentuk tubuh dan auratnya iaitu tidak ketat.

Kebanyakkan orang pada zaman sekarang tidak memahami masalah menutup aurat ini dengan baik. Maka mereka melakukan kesilapan dalam keadaan mereka tidak sedar. Ketiga-tiga syarat yang kita sebutkan perlulah diraikan kesemuanya. Jika kurang salah satu daripada syarat-syarat tersebut maka seseorang tersebut masih dikira tidak menutup aurat. Kita mendapati ada golongan yang berpakaian ketat dan bilamana kita melarangnya maka mereka mengatakan bahawa yang penting orang tidak mengetahui warna kulit.

Maka ini jelas menunjukkan bahawa mereka tidak faham syarat-syarat berpakaian yang diletakkan oleh syarak. Maka para pengantin dan orang ramai perlulah meraikan perkara ini. Satu lagi perkara yang perlu diambil perhatian ialah berkenaan make-up pengantin. Berhiaslah sekadarnya, berpadalah dengan kecantikan asli yang diberikan Allah kepada kita.

KESIMPULAN

Hukum asalnya adalah harus. Cuma perkara-perkara yang berlaku disebaliknya yang menyebabkan ianya menjadi haram seperti bertepung tawar, jampi serapah, percampuran bebas wanita dan lelaki, membuka aurat dan pembaziran. Jika kesemua perkara ini dapat kita elakkan maka tiadalah masalah bagi kita meraikan adat tersebut. Jika perkara yang kita sebutkan ini tidak dapat diraikan maka hukumnya tetap menjadi haram. Wallahu a’lam.

 Dipetik daripada : nazrulnasir.blogspot.com

Tags
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close