ArtikelMotivasi
Trending

Nawaitu Niatku

Pada suatu hari, telah datang beberapa orang tetamu untuk menziarahi seorang tuan guru. Setibanya mereka di rumah tuan guru itu, mereka menguatkan hentakan kaki mereka sehingga sedikit berbunyi sebagai tanda kehadiran mereka. Kemudian, mereka mengetuk pintu rumah dan memberikan salam sebagai tanda tibanya mereka di rumah tuan guru itu. Sebaik sahaja mendengar ketukan pintu diiringi salam daripada tetamu itu, tuan guru terus menyuruh salah seorang daripada anaknya untuk membuka pintu.

“Wahai anakku, tolong bukakan pintu untuk ayah. Ada tetamu datang.”

“Baiklah ayah.”

Sebaik sahaja dibukakan pintu, anaknya itu kembali semula ke tempat duduknya. Lalu tuan guru itu bertanya kepada anaknya itu.

Wahai anakku, apakah yang engkau niatkan ketika ayah menyuruh engkau membuka pintu itu tadi?”

“Aku berniat membuka pintu seperti mana arahanmu, wahai ayah.”

“Jika aku menjadi kamu, nescaya akan aku niat setiap perkara berbeza di setiap langkahku sehinggalah aku membuka pintu dan kembali semula ke tempat dudukku.”

“Akan aku niatkan membuka pintu demi mengikut arahan ayahku, aku niatkan juga untuk mengenali tetamu tadi agar aku dapat bersilaturrahim dengannya, aku niatkan juga untuk senyum tatkala mataku ini bertentang mata dengannya, dan pelbagai lagi.”

Kita diajarkan apabila melakukan sesuatu perkara, niatkanlah kerana Allah Subhanahu Wa Ta’ala . Apabila sesuatu perkara yang kita lakukakan itu, kita niatkkan kerana Allah Subhanahu Wa Ta’ala , in sya Allah perkara yang kita lakukan itu akan dinilai sebagai salah satu ibadah dan mendapat ganjaran pahala daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala .

Para ulama’ mengajarkan kita 3 perkara penting di dalam bab niat:

1.Berniat Kerana Allah

Sepertinya yang disebutkan di atas, setiap perkara yang kita lakukan, niatkanlah kepada Allah agar perkara yang kita lakukan itu mudah-mudahan dikira sebagai ibadah dan mendapat ganjaran pahala daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala .

2. Mempelbagaikan Niat

Seperti mana yang dikisahkan di dalam cerita di atas, tuan guru itu cuba untuk mendidik anaknya agar mempelbagaikan niat apabila melakukan sesuatu perkara. Sebagai seorang yang berilmu, beliau bijak untuk memanfaatkan setiap saat yang ada dengan ibadah. Apabila kita memperbanyakkan niat, mudah-mudahan Allah Subhanahu Wa Ta’ala menerima setiap satu perkara yang telah kita niatkan itu sebagai ibadah.

3. Memperbaharui (Tajdid) Niat

Syaitan daripada zaman Nabi Adam sehinggalah Hari Kiamat tidak akan berputus asa untuk menghasut manusia agar mengikutinya. Walaupun kita sudah niatkan apabila melakukan sesuatu perkara itu ikhlas kerana Allah, syaitan akan cuba juga untuk memperdaya dan menghasut kita agar perkara yang kita lakukan itu bukan kerana Allah tetapi kerana dunia semata-mata. Oleh sebab itulah para ulama’ sentiasa mengingatkan kita agar sentiasa memperbaharui niat kita pada setiap masa supaya setiap perkara yang kita lakukan itu niatnya tetap kerana Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Tags
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also

Close
Close