Adab dan AkhlakArtikelCintaMotivasi

Harganya Ialah Memaafkan Kepada Yang Menzalimimu

“Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang ma´ruf, serta berpalinglah dari pada orang-orang yang jahil.” 
(Surah Al-A’raf : 199)

Diriwayatkan daripada Sayyidina Anas bin Malik r.a, suatu hari, baginda Rasulullah tidur dan setelah bangun dari tidurnya, baginda tersenyum. Sayyidina Umar Al-Khattab pun bertanya,

“Ya Rasulullah, apa yang menyebabkan engkau tersenyum?”

Rasulullah pun memulakan ceritanya.
“Aku bermimpi, nanti di hari kiamat 2 orang dihadapkan kepada Allah SWT.Kemudian, salah seorang daripada mereka menuntut haknya daripada seorang lagi yang pernah menzaliminya dulu ketika di dunia. Tuntutan hak ketika itu bukanlah dengan mengembalikan kezaliman yang pernah dilakukan seperti di dunia, tetapi meminta kebaikan orang yang menzalimi untuk diberikan kepada orang yang dizalimi. Malangnya, orang yang menzalimi itu tiada kebaikan lagi untuk diberikan lalu orang yang dizalimi pun meminta kepada Allah SWT agar dosanya diberi kepada orang yang menzaliminya.

Melihatkan kejadian ini Rasulullah pun menangis kesedihan.

Kemudian, Allah SWT berkata kepada orang yang dizalimi itu,
“Wahai Fulan, angkatlah kepalamu ke atas.”

Lalu, orang itu melihat ke atas dan terlihatlah olehnya keindahan yang amat luar biasa. Dia nampak istana diperbuat daripada batu permata, dan keindahan-keindahan lain yang belum pernah dilihatnya sebelum ini. Dalam keterujaannya itu, dia pun bertanya,

“Wahai Allah, ini sungguh indah. Siapa yang punya ini, wahai Allah? Nabi mana yang punya? Orang siddiq mana yang punya? Orang syahid bernama siapa yang punya?”

Kata Allah SWT,
“Yang mempunyai keindahan itu ialah orang yang mempunyai harga untuk bayar.”

Ini bermakna, sesiapa saja boleh memilikinya, asalkan boleh membayar kepada Allah SWT. Maka, orang itu pun bertanya lagi,

“Apa bayarannya, wahai Allah?”

Jawab Allah SWT, “Bayarannya ialah orang yang memaafkan kepada orang lain.

Orang itu pun berkata, “Ya Allah, aku maafkan dia.

Allah SWT pun berkata, “Ambillah tangan saudaramu itu (yang menzalimi) dan bawalah dia ke syurga sekali.”

Subhanallah, memang kita tahu yang bahawa orang zalim nanti akan menanggung kezaliman di akhirat tapi pada masa yang sama, ada orang zalim ada yang akan dimaafkan Allah SWT.

Mengapa menanggung dendam kepada orang lain sedangkan gantinya luar biasa?

Orang yang paling banyak menerima maaf daripada Allah ialah orang yang paling banyak memaafkan orang lain. Maka, jangan dendam, jangan simpan, jangan ada busuk hati dengan orang lain. Anda dihormati Allah dengan diberi hati untuk ditempati Allah Yang Maha Suci dan Bersih, jangan dikotori hati anda dengan kedengkian, kebencian kepada orang lain. Bersihkan ‘wadah’ itu terlebih dahulu supaya Yang Maha Bersih boleh berada di dalamnya.

Artikel dipetik daripada : darulmurtadza.com

Tags
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also

Close
Close