ArtikelMotivasi

Hikmah Nafsu

“Aku teringin makanan yang sedap. Aku mahu pangkat kedudukan yang tinggi. Aku mahukan suami/isteri yang terbaik. Tapi Ya Allah! Mengapa nafsuku ini sukar sekali diajar agar menjadi mutma’innah? Mengapa sukar sekali untukku ikat syahwatku ini?  Sedangkan telah berulang kali aku diajar untuk menjadi seorang murid yang baik, nafsuku perlu dikekang. Keinginanku perlu cuba disekat. Aku patut menginginkan keredhaan dan maghfirahmu semata, Ya Allah!”

Monolog diri di atas pernah diceritakan oleh seorang anak murid kepada ana baru-baru ini. Ana tidak memberi apa-apa komentar kepadanya. Ana rasakan jika benar monolog itu datang dari hati yang tulus ikhlas, ana tidaklah layak untuk memberinya nasihat. Kedudukan hati yang begitu cukup tinggi di sisi Allah. Teringat, kata-kata seorang ahli Sufi,

“Jika ku mampu meninggalkan secupak makanan itu lebih ku cintai dari beribadat sepanjang malam.”

Namun begitu mengapa keinginan nafsu ini disuburkan di dalam jiwa manusia? Apakah faedahnya? Mengapa diilhamkan Allah kepada kita kebaikan dan keburukan nafsu ini? Sambil berfikir bersendirian, ana menukar saluran TV kepada Saluran Al-Resalah. Terpampang wajah bercahaya Habib Ali Aljufri, dalam racangan kegemaran ana ‘Hayyun Fi Qulubina.’

Subhanallah. Habib Ali sedang menceritakan perihal nafsu dan hikmahnya. Mutiara kata yang terbit dari beliau benar-benar menyejukkan hati ini. Katanya, ada tiga hikmah utama, nafsu disuburkan dalam jiwa manusia.

1) Istimrar (Kesinambungan)

2) Isti’nas (Kerinduan dan keinginan kepada sesuatu)

3) Ba’is lilhimam (Faktor pencetus kepada kekuatan)

Manusia memerlukan makanan untuk kesinambungan nyawanya. Memerlukan perkahwinan untuk kesinambungan spesis manusia.  Usah disalahkan nafsu. Tanpa nafsu, tidak ada manusia yang ingin berkahwin. Manusia juga perlukan nafsu makan faktor penguat untuk berusaha mencari rezeki. Manusia juga memerlukan nafsu perkahwinan sebagai pencetus untuk berusaha mendapatkannya, dan memperbaiki kedudukan diri. Begitu jualah pada setiap jenis nafsu. Hikmah pertama dan ketiga ini mudah dikecap oleh fikiran yang terbuka dan hati yang beriman.

Namun apa yang ana tertarik adalah pada huraian hikmah kedua, iaitu isti’nas. Habib Ali memberikan contoh, seorang anak kecil yang ditunjukkan gambar sebuah basikal, dan dijanjikan untuknya sebuah basikal oleh si ayah jika belajar bersungguh-sungguh. Tentu sekali si anak tadi, sudah merasa nikmat melihat gambar tersebut, dan sudah bernafsu untuk mendapatkannya. Namun nikmat yang sebenar adalah apabila dia benar-benar mendapatkan basikal itu daripada si ayah.

Begitu jualah kita di dunia ini. Apabila kita bernafsu untuk makan, jadikanlah makanan yang kita nikmati itu mengingatkan dan menguatkan pula keinginan kita untuk mendapatkan makanan yang jauh lebih lazat di Syurga. Anggur yang dimakan, susu yang diminum, takkan sama di dunia dan di akhirat. Setiap biji anggur yang kita nikmati di dunia, cuba kita bayangkan pula nikmat yang jauh lebih besar di Syurga, yang mana nikmatnya tidak ada mata yang mampu menggambarkannya, tidak ada telinga yang mampu mengecapnya dan tidak terlintas di hati manusia di dunia.

Nafsu perkahwinan, di dunia, sewajarnya mengingatkan kita pula akan perkahwinan di akhirat. Tak kira anda berkahwin dengan seorang wanita mahupun berpoligami di dunia sementara ini, jadikan ia penguat untuk mendapatkan Syurga Firdaus. Usahakanlah agar perkahwinan itu mampu menguatkan diri agar merindui akhirat.

Nafsu mendapatkan pangkat dan kedudukan di dunia, patut mengingatkan kita agar merindui kedudukan di sisi Allah di dalam Syurga. Kedudukan yang tiada taranya. Tentu sekali nafsu yang terbaik adalah apabila mengharapkan kedudukan (manzilah) di sisi Allah ketika di dalam dunia ini lagi.

Bak sebuah Hadis Qudsi, apabila kita menyebut nama Allah dalam satu kumpulan, Allah akan menyebut nama kita di dalam perkumpulan yang jauh lebih baik daripada perkumpulan kita itu. Bukankah itu satu kedudukan yang kita ingin kecap di dunia ini? Namun itu semua sepatutnya menyebabkan kita lebih merindui nikmat kedudukan di dalam Syurga. Khususnya, nikmat yang tidak terbanding apabila dianugerahkan Allah melihat kepadaNya di dalam Syurga nanti. Segala nikmat di dunia ini akan terasa remeh malah tidak berharga, jika kita mendapat nikmat Allah di SyurgaNya.

Keinginan yang dikecap dengan nikmat mendapat doa yang mustajab pun takkan sama dengan nikmat di syurga. Malahan nikmat beribadat di tengah malam juga (seperti mana kalam para salafussoleh, nikmat beribadat di tengah malam adalah nikmat teragung di dunia ini), tidak dapat mengalahkan nikmat kedudukan yang tinggi di sisi Allah Ta’ala di Syurga nanti.  Moga setiap nafsu kita di dunia ini dapat menguatkan lagi keinginan kita untuk mendapatkan yang lebih baik lagi di akhirat kelak. Moga Allah memasukkan kita dalam golongan yang mendapat nikmat di atas nikmat di dalam SyurgaNya nanti. Amiin.

Artikel dipetik daripada : aljoofre.blogdrives

Tags
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also

Close
Close