ArtikelIbadahIsu SemasaSoal Jawab

Hukum Wanita Haid Membaca Al-Qur’an

Diriwayatkan oleh Saidina Ibn Umar radhiyallahu anhuma katanya:

Sabda Baginda sallallahu alaihi wasallam: Seorang wanita yang didatangi haid dan seorang yang berada di dalam keadaan junub tidak boleh bagi mereka membaca sedikitpun daripada Al-Qur’an.
(Hadis ini diriwayatkan oleh al-Imam Abu Daud, Tirmizi, Ibn Majah)

Menurut para ulama’ bermazhab Syafie, Hanafi dan Hanbali, diharamkan bagi seorang wanita yang berada di dalam keadaan haid membaca Al-Qur’an. Perkara ini juga diharamkan bagi seorang wanita yang bisu yang menggerak-gerakkan bibirnya dengan tujuan membaca Al-Qur’an. Ini adalah seperti yang difatwakan oleh Al-Qadhi Hussain rahimahullah di dalam Kitab Fatwanya.

Perkara ini diharamkan jika wanita tersebut berniat bahawa perkara yang dibacakannya tersebut adalah Al-Qur’an. Sebaliknya jika wanita itu tidak berniat sedemikian seperti meniatkan bahawa apa yang dibacanya sebagai zikir, maka hukumnya adalah harus.

Manakala menurut Mazhab Imam Malik radhiyallahu anhu, diharuskan bagi wanita yang berada di dalam keadaan haid dan nifas membaca Al-Qur’an dengan syarat tidak menyentuh Al-Qur’an itu sendiri sama ada dibimbangi jika dia tidak membacanya maka dia akan lupa Al-Qur’an (bagi yang menghafaz Al-Qur’an) ataupun dia memang langsung tidak bimbang akan lupa jika tidak membacanya. Kedua-dua keadaan tersebut diharuskan bagi seorang wanita yang berada di dalam keadaan haid dan nifas membaca Al-Qur’an. Ini kerana wanita tersebut tidak mampu mengelakkan diri daripada haid dan tidak mampu menghilangkan haid secara serta-merta.

Di sisi Mazhab Imam Ahmad radhiyallahu anhu juga terdapat satu pendapat yang mengatakan bahawa diharuskan bagi wanita yang didatangi haid dan nifas membaca Al-Qur’an. Ini merupakan pendapat yang dipilih oleh Al-Imam Ibn Taimiyah rahimahullah. Syaikh Abdul Fattah Abu Ghuddah rahimahullah menukilkan daripada Syarah Shagir oleh Al-Imam Dardir rahimahullah dan Syarah Al-Khurasyi dengan menyebutkan bahawa Mazhab Imam Malik mengharuskan bagi wanita yang didatangi haid memegang Al-Qur’an jika dia merupakan seorang tenaga pengajar Al-Qur’an dan orang yang sedang belajar Al-Qur’an.

KESIMPULAN

Bagi seorang wanita yang didatangi haid dan dia juga merupakan seorang penghafaz Al-Qur’an bagaimanakah cara terbaik yang perlu dilakukan olehnya bagi mengelakkan hafalannya terganggu? Perkara yang terbaik ialah mengeluarkan diri daripada khilaf ulama’. Kita telah mengetahui bahawa sebahagian ulama membenarkan dan kebanyakkannya mengharamkan wanita yang didatangi haid dan nifas membaca Al-Qur’an di dalam keadaan tersebut.

Maka sebaiknya kita elakkan diri daripada membacanya dengan mengeluarkan suara ketika dalam keadaan tersebut. Para ulama’ membenarkan wanita yang berada di dalam keadaan haid dan nifas untuk membaca Al-Qur’an di dalam hati tanpa menggerakkan lidahnya sehingga boleh menyebabkan keluar suara yang mampu didengari oleh dirinya sendiri. Tetapi jika dia mengerakkan lidahnya tanpa mengeluarkan suara dan hanya menyebutnya di dalam hati maka ianya dibenarkan. Tetapi jika dia tetap tidak mampu melakukan sedemikian dan perkara ini boleh menyebabkan hafalannya akan tetap terganggu maka dibenarkan kepada wanita tersebut mengikut pendapat yang disebutkan di dalam Mazhab Imam Malik rahimahullah.

Artikel dipetik daripada : nazrulnasir.blogspot.com

Tags
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close