ArtikelIbadahKesihatan

Makna keberkatan pada sahur

Terdapat hadis daripada Nabi SAW yang menyebutkan,
تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السَّحُورِ بَرَكَةً
 “Bersahurlah kerana dalam sahur itu ada barakah”
(HR Imam Al-Bukhari dan Muslim dari Anas bin Malik RA Bulughul-Maram, hadis no. 616)

Perkataan ‘berkat’ atau ‘barakah’ banyak disebut oleh Allah di dalam Al-Qur’an dan juga oleh Nabi SAW di dalam hadis-hadisnya. Dari segi makna bahasa Arab, Al-barakah (البركة) bermaksud, ziyadah (tambah), numuw (tumbuh), sa’adah (kebahagiaan) dan kathratul-khair (banyak kebaikan).

 Dari segi makna syarak, barakah bermaksud terdapatnya limpahan kebaikan Ilahi (Allah) pada sesuatu. Maka suatu yang diberkati bermaksud, sesuatu yang dilimpahi kebaikan dari Allah s.w.t.

Khusus bagi sahur, menurut Imam Ibnu Daqiq al-‘Id, barakah pada sahur merangkumi aspek ukhrawi dan duniawi :

1.    Aspek ukhrawi (yakni faedah akhirat); sahur itu adalah sunnah Nabi SAW. Setiap pengamalan sunnah membawa barakah iaitu pahala dan tambahan pahala dari Allah di akhirat.
2.    Aspek duniawi; sahur memberi kekuatan kepada tubuh untuk menghadapi ibadah puasa, menyenangkan tubuh, tidak memaksanya di luar kemampuannya.

(Lihat : Ihkam Al-Ahkam syarh ‘Umdatil Ahkam, Imam Ibnu Daqiq Al-‘Id, 2/9)

Menurut Imam An-Nawawi, keberkatan sahur (selain dari memberi kekuatan untuk menghadapi ibadah puasa), ada juga ulama’ menyebutkan, keberkatan sahur ialah kerana ia membangkitkan manusia pada waktu yang mulia, iaitu waktu turunnya rahmat Allah dan dimakbulkan doa dan istighfar (yakni waktu dari tengah malam hingga sebelum terbit fajar). Mudah-mudahan orang yang bangun bersahur dapat melanjutkan amalannya dengan mengambil wudhu’ dan bersolat sunat atau amalan bersahur itu akan membiasakannya untuk berjaga malam untuk beribadah dengan berzikir, berdoa dan bersolat malam
(Lihat : Syarah Soheh Muslim, Al-Imam An-Nawawi, 7/206)

Memandangkan banyak barakah dan kebaikan yang akan diperolehi dari bersahur, maka Nabi SAW amat menggalakkan kita bersahur sekalipun dengan makanan yang sedikit.

Artikel dipetik daripada : ilmudanulamak.blogspot.com ( Ustaz Ahmad Adnan Fadzil)  

Tags
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close