ArtikelIbadahMotivasi

Ramadhan Menanti Dengan Penuh Keberkatan

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”
(Al-Baqarah : 183)

RAMADHAN merupakan kurniaan daripada Allah SWT. Sebagai hamba, kita wajib mensyukuri nikmat usia yang diberikan sehingga kita dapat bersama–sama meraih ganjaran yang berlipat kali ganda setiap kali munculnya Ramadhan.

Bahkan Baginda Rasulullah SAW sudah bersiap sedia menanti kehadiran Ramadan yang penuh dengan keberkatan, dua bulan lebih awal. Sepertimana menerusi doa yang Baginda ajarkan buat kita,

“Ya Allah, berkatilah kami di bulan Rejab dan Syaaban serta sampaikanlah kami ke Bulan Ramadan.”

Baginda Nabi SAW turut bersabda, “Ramadhan itu menghapuskan dosa. Andai sahaja kalian tahu, apa yang Allah SWT kurniakan pada bulan Ramadhan, maka kalian akan beraharap agar setiap bulan adalah Ramadhan.”

Menerusi segmen topik Jumaat yang bersiaran di IKIMfm, Ustazah Halimah Al-Aydrus berkongsi mengenai persiapan kita sebagai hamba dalam menuju ke gerbang Ramadan. Ustazah berpesan agar kita lakukan yang terbaik setiap kali munculnya Ramadhan kerana belum tentu kita dapat bertemu dengan Ramadhan berikutnya.

Segala kurniaan yang diberikan oleh Allah SWT ketika bulan Ramadhan akan turun ke dalam hati kita. Maka Allah SWT akan mencari hati-hati yang layak untuk diturunkan segala keampunan Allah SWT. Jadinya, sebelum melangkah masuk ke bulan Ramadhan, kita harus persiapkan hati dan jiwa kita. Rasulullah SAW bersabda “Apabila datang malam pertama di bulan Ramadan, Allah SWT akan pandang hamba-hambaNya dengan pandangan penuh kasih sayang.”

Janganlah kita tergolong di kalangan mereka yang jauh daripada rahmat dan kasih sayang Allah SWT tatkala tibanya bulan Ramadhan. Rasulullah SAW pernah bersabda mengenai empat golongan yang terhalang daripada mendapat rahmat Allah SWT ketika bulan Ramadan.

Pertamanya, golongan yang meminum minuman keras.

Kedua, anak yang derhaka kepada kedua ibu bapa. Untuk itu, bagi anak-anak, dapatkan redha dan restu kedua ibu bapa serta keampunan mereka agar Ramadan yang kita lalui tidaklah sia-sia kerana keredahaan Allah untuk apa yang kita lakukan pada bulan Ramadan sangat bergantung dengan keredhaan kedua ibu bapa. Bagi ibu bapa, didiklah hati untuk mudah memafkan kesalahan anak-anak serta redha dengan mereka. Rasulullah SAW pernah bersabda “Semoga Allah beri rahmat, seseorang yang memudahkan anaknya untuk berbakti kepada dirinya.”

Golongan ketiga yang jauh daripada rahmat Alah SWT ketika Ramadhan, orang yang memutuskan hubungan silaturrrahim dengan saudaranya. Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya hubungan silaturrahim itu bergantung di bawah ‘Arasy.” Lantas Baginda menyambung “Ya Allah, sambungkanlah diriMu dengan orang yang menyambungkan hubungannya denganku dan putuskanlah hubunganMu Ya Allah, dengan orang yang memutuskan hubungan denganku.”

Golongan yang terakhir ialah orang yang di hatinya terdapat dendam, permusuhan dan kebencian terhadap orang lain. Orang yang belum lagi kita maafkan kesalahannya bisa menjadi penghalang daripada kebaikan-kebaikan yang kita lakukan. Jika kita tinggalkan keempat-empat perkara ini, maka mudah untuk kita mendapat pandangan rahmat dan kasih sayang daripada Allah SWT tatkala tiba bulan Ramadan.

Bulan Ramadhan adalah bulan suci. Kesucian daripada bulan Ramadhan ketika ia dapat mensucikan kita daripada pebuatan dosa yang telah kita lakukan. Rasulullah SAW bersabda “Dari Ramadhan kepada Ramadhan (sekiranya bagus Ramadhannya), mampu menjadi penghapus dosa di antara dua Ramadan tersebut.” Jadikan Ramadhan kita terisi dengan perkara-perkara yang diredhai oleh Allah SWT. Berpuasa pada siangnya dengan penuh kseungguhan. Menunaikan solat terawih dan ibadah malam serta perbanyakkan membaca Al-Qur’an. Ustazah turut berpesan agar kita dapat banyakkan bersedekah.

Maka, sedekah yang paling baik di bulan Ramadhan adalah memberi makan orang yang berpuasa. Rasulullah SAW bersabda “Sesiapa yang memberi makan orang yang berpuasa ketika berbuka, maka dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa tersebut, tidak berkurang sedikitpun pahalanya.” Semoga apa juga amalan kita yang kita laksanakan ketika bulan Ramadan akan diganjari oleh Allah SWT dan semoga kita beroleh kataqwaan di penghujung Ramadhan kita nanti. Jadikan Ramadhan kali ini Ramadhan yang terbaik dalam kehidupan kita.

Artikel dipetik daripada : Ikimfm.my
(Ustazah Halimah Al-Aydrus)


Tags
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close