ArtikelKesihatan

Bacalah: Sembilan Manfaat Bersama Buku

Seiring perkembangan zaman, ramai orang memilih untuk membaca secara audio, video ataupun kedua-duanya. Ini kerana cara sedemikian lebih pantas dan mudah untuk difahami mesej dan jalan penceritaannya.

Bagaimanapun, membaca bahan bacaan fizikal masih mempunyai tempat di hati pembaca tegar. Kita sedia maklum akan kelebihan membaca, terutama bahan bacaan bersifat fizikal. Namun, tahukah kita apakah kelebihan tersebut?

Mari kita semak apakah kelebihan membaca menurut pakar.

1. Otak akan dilatih untuk mengingat

Membaca buku adalah satu latihan otak yang berbeza dari menonton televisyen atau mendengar muzik.

“Bahagian otak yang berkembang untuk fungsi lain seperti penglihatan, bahasa, dan pembelajaran akan berhubung dalam litar saraf tertentu untuk membaca, ia adalah sesuatu yang sangat mencabar.”

Ken Pugh, pemegang Ph.D merangkap Presiden dan Pengarah kajian di Haskins Laboratories

Melalui pernyataan beliau, dapat kita fahami bahawa kebiasaan membaca akan menggesa otak untuk berfikir dan akan lebih memberi tumpuan berbanding dengan mereka yang sering menonton televisyen.

2. Otak akan sentiasa muda

Menurut kajian dari Rush University Medical Center yang diterbitkan ke dalam jurnal Prevention, membaca buku dapat menjaga otak selama bertahun-tahun.

Orang dewasa yang menghabiskan waktu lapangnya dengan melakukan aktiviti intelektual seperti membaca, akan mempunyai tingkat penurunan kognitif sebanyak 32 peratus lebih lambat dibandingkan dengan mereka yang tidak membaca buku.

“Otak akan lebih efisien jika kita memaksanya untuk berfikir sekaligus mengubah struktur otak agar tetap berfungsi baik walaupun terdapat penyakit neuropatologi yang berkaitan usia.”

Robert S. Wilson, pemegang PhD merangkap profesor neuropsikologi di Rush University Medical Center.

Kajian lain turut mendapati, golongan berusia lanjut yang suka membaca buku ataupun bermain permainan mengasah minda seperti catur dan teka-teki memiliki risiko dua setengah kali lebih rendah untuk mendapat penyakit Alzheimer, seperti dilaporkan oleh ABC News.

3. Menghilangkan tekanan

Menurut laporan Weight Watchers, membaca buku boleh menurunkan kadar hormon kortisol yang mencetuskan tekanan.

Dalam satu kajian, para peserta diminta terlibat dalam aktiviti yang mencetus kepada kecemasan, kemudian mereka selama beberapa minit disuruh membaca, mendengar musik, atau bermain permainan video.

Tingkat tekanan daripada peserta yang membaca buku turun 67 peratus, dibandingkan dengan peserta kelompok lain.

4. Menambah pengetahuan tentang perbendaharan kata

Kita dapat menggunakan buku untuk memperluas pengetahuan tentang perbendaharaan atau kosa kata. Para penyelidik mendapati setiap orang mempelajari lima hingga 15 peratus daripada semua perkataan apabila membaca.

Oleh itu, membaca sangat penting kepada kanak-kanak kerana rujukan kosa katanya dipengaruhi oleh buku yang mereka baca.

5. Meningkatkan simpati terhadap orang lain

Cerita yang disajikan di dalam buku akan memberi pandangan atau impak yang dapat mengubah hidup kita.

Memasuki kehidupan watak dalam cerita yang dibaca akan meningkatkan lagi kemampuan kita untuk memahami perasaan orang lain serta rasa simpati.

6. Memberi motivasi

Membaca juga memberi kita motivasi untuk menjalani kehidupan dengan lebih baik lagi.

Dengan membaca akan membuatkan kita mampu mendefinisikan watak seseorang dan merasai peristiwa yang dialaminya seolah-olah terjadi kepada kita. Maka, semakin besar kesempatan itu kita ambil sebagai hikmah.

7. Membantu untuk lebih berhubung

Menurut ahli psikologi di University of Buffalo, apabila kita membaca watak dalam sebuah buku, kita akan mengalami semacam hubungan yang dapat meningkatkan rasa pembelajaran kepada diri.

8. Membangkitkan semangat

Cerita pengakhiran yang bahagia akan memberi semangat. Namun, membaca novel juga boleh membangkitkan perasaan positif dengan cara lebih halus.

Peristiwa kecil dalam plot cerita dapat mengungkap kenangan yang manis dan akan terbawa-bawa ke dalam diri kita.

9. Membantu lebih berjimat

Harga sebuah novel adalah murah dan kita memerlukan sekitar enam jam untuk selesai membacanya. Sedangkan, untuk pergi menonton filem atau makan di restoran memerlukan belanja yang mahal.

Kesimpulannya, buku lebih jimat sebagai sumber hiburan yang memberi lebih manfaat.

(Diolah daripada sumber https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/fmt-ohsem/ohsem-myhobi/2020/12/05/suka-membaca-akan-buat-otak-sentiasa-muda/)

Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close