Artikel

Mengapa Kesengsaraan Warga Palestin Masih Berterusan?

Serangan Israel terhadap Gaza semenjak beberapa hari lepas setakat ini telah meragut lebih 100 nyawa warga Palestin yang tidak berdosa termasuk kanak-kanak dan wanita. Banyak bangunan, rumah dan pejabat juga hancur musnah akibat pengeboman oleh jet pejuang F35 tentera udara Israel yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat.

Mungkin ada dalam kalangan rakyat Malaysia berpendapat bahawa kesengsaraan warga Palestin adalah hasil daripada tindakan kurang cerdik tentera Hamas di Gaza yang telah melancarkan serangan roket ke arah bandar-bandar di Israel. Mereka mungkin merasakan semua ini boleh dielakkan jika Hamas tidak ‘menyerang’ Israel.

Sebenarnya, sesiapa yang mempunyai pandangan seperti ini perlu disedarkan bahawa kefahaman mereka tentang apa yang berlaku di Palestin adalah sangat cetek serta buta sejarah.

Hakikat paling penting yang perlu disedari ialah Israel sepatutnya tidak wujud kerana ia merupakan hasil tindakan penjajahan orang asing ke atas wilayah milik bangsa Palestin. Seorang pakar sejarah berbangsa Yahudi dari Israel sendiri, Prof. Ilan Pappe dalam bukunya yang masyhur ‘The Ethnic Cleansing of Palestine’ menyatakan;

Kewujudan Israel adalah hasil dari tindakan oleh kumpulan Zionis yang telah datang dari Eropah ke bumi Palestin pada awal kurun ke-20 dan seterusnya telah melakukan tindakan penghapusan etnik (ethnic cleansing) yang melibatkan tindakan pembunuhan beramai-ramai (massacre) serta menghalau penduduk Palestin dari kampung halaman mereka (expulsion).

Akibat daripada tindakan tersebut, lebih 750,000 penduduk Palestin menjadi pelarian dan tidak dibenarkan pulang ke tanah air mereka sehingga sekarang, walaupun ini adalah hak mereka di bawah Resolusi 194 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang diluluskan pada tahun 1948 lagi.

Yang lebih menyedihkan ialah pada tahun yang sama, masyarakat antarabangsa yang dipengaruhi oleh Amerika Syarikat dan Eropah telah meredai tindakan jenayah kumpulan Zionis dari Eropah menjajah bumi Palestin, apabila mereka mengiktiraf negara baru mereka yang diberi nama Israel.

Tidak cukup dengan itu, kumpulan penjenayah Zionis ini terus mengganas dan pada tahun 1967 telah merampas Tebing Barat dan Timur Baitul Maqdis, termasuklah Masjid Al-Aqsa.

Walaupun masyarakat antarabangsa tidak mengiktiraf wilayah Tebing Barat sebagai sebahagian dari Israel, namun kerajaan Israel terus membuka penempatan atau bandar-bandar untuk orang Yahudi sahaja di atas tanah-tanah yang dirampas daripada warga Palestin. Bahkan banyak kebun-kebun zaitun mereka juga dirampas oleh pendatang Yahudi Zionis dengan bantuan tentera Zionis.

Sebahagian besar Tebing Barat sekarang (dipanggil Area C) adalah di bawah kuasa penuh tentera Israel. Ini membenarkan mereka mengawal pergerakan rakyat Palestin dengan mewujudkan ratusan sekatan jalanraya. Warga Palestin dihalang dan disekat daripada bergerak bebas dalam negara mereka sendiri sama ada untuk berkerja, mengusahakan kebun zaitun, ke sekolah ataupun hospital untuk melawat ahli keluarga.

Jenayah puak Zionis terkini ialah merampas rumah puluhan warga Palestin di sebuah daerah bernama Sheikh Jarrah di Timur Baitul Maqdis bersebelahan Masjid Al-Aqsa. Mereka juga telah berusaha menghalau warga Palestin daripada melakukan iktikaf di Masjid Al-Aqsa pada 27 Ramadan lalu kerana ingin membenarkan kumpulan ekstrimis Zionis mengadakan sambutan ‘Jerusalem Day‘ iaitu upacara tahunan memperingati kejayaan mereka merampas Baitul Maqdis daripada rakyat Palestin.

Dalam erti kata yang lain, kumpulan penjenayah Zionis ini tidak akan berhenti melakukan pencabulan hak asasi manusia terhadap warga Palestin sehingga kesemua bumi Palestin berada dalam genggaman mereka, kesemua warga Palestin dihalau keluar dan identiti Palestin dihapuskan sepenuhnya.

Semenanjung Gaza pula dikepung oleh Rejim Zionis supaya penduduk berjumlah lebih dua juta di dalam kawasan itu akur dengan kehendak mereka serta patuh dengan peraturan dan undang-undang yang menjadikan warga Palestin rakyat kelas kedua dan hak mereka semakin hari semakin dihakis.

Dalam suasana tersebut, sebenarnya warga Palestin tidak mempunyai banyak pilihan. Sama ada mereka berpindah ke negara lain ataupun hidup sebagai manusia yang dihinakan dibumi sendiri.

Namun, Alhamdulillah masih wujud dalam kalangan masyarakat Palestin yang mempunyai semangat jati diri yang tinggi. Mereka tidak akan tunduk kepada usaha penjajah asing untuk terus merampas kesemua tanah mereka serta mencabul hak asasi mereka dan menghina Masjid Al-Aqsa yang suci itu.

Yang paling menonjol dalam kalangan warga Palestin yang menentang Israel ini ialah kumpulan Hamas. Berbeza dengan kumpulan pimpinan Mahmud Abbas yang bersetuju menjadi budak suruhan Rejim Zionis, Hamas sejak awal kewujudannya lagi pada tahun 1980-an menolak tekanan dari semua pihak untuk mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara yang sah.

Sebaliknya Hamas berpendirian bahawa adalah menjadi tanggungjawab mereka sebagai orang Islam untuk menentang penjajahan negara mereka oleh orang asing dengan apa cara sekali pun, termasuk dengan cara ketenteraan. Perjuangan Hamas untuk membebaskan negara Palestin daripada penjajahan Rejim Zionis ini dianggap oleh kebanyakan ulama muktabar sebagai perjuangan jihad yang sah dan terpuji. Jika mereka mati dalam perjuangan tersebut, kematian mereka dianggap ‘syahid‘.

Atas dasar itulah Hamas yang sekarang berpengkalan di Gaza memberi amaran kepada Israel supaya menghentikan jenayah zalim terkini mereka; merampas rumah kediaman warga Palestin di daerah Sheikh Jarrah, dan berhenti menyekat orang Islam untuk beribadah di Masjid Al-Aqsa.

Oleh kerana Israel masih terus melakukan jenayah-jenayah tersebut, Hamas tidak mempunyai pilihan selain menyerang Rejim Zionis menggunakan roket yang mereka bina sendiri dengan tangan-tangan mereka.

Sudah tentu Hamas menyedari risiko bahawa Israel akan menyerang balas dengan ganas dan ramai dalam kalangan mereka mungkin akan terkorban. Namun bagi Hamas, ia adalah satu perkara yang tidak dapat dielakkan kerana tanggungjawab menentang musuh yang ingin merampas tanah air mereka dan ingin menghapuskan masyarakat Islam Palestin adalah tanggungjawab mulia yang tidak boleh dikorbankan.

Sebagai rumusan, kesengsaraan yang dialami oleh rakyat Palestin adalah kensengsaraan yang bukan pilihan mereka sendiri. Ia adalah kesengsaraan yang telah dipaksa ke atas mereka oleh penjenayah Zionis yang datang dari Eropah serta anak-cucu mereka yang sehingga hari ini berusaha untuk menghalau warga Palestin dan menghapuskan saki-baki identiti masyarakat Palestin di negara milik mereka. Penjajah yang juga penjenayah dari Eropah ini jelas akan terus melakukan kezaliman terhadap warga Palestin di masa-masa akan datang.

Persoalannya, apakah reaksi kita semua terhadap jenayah zalim yang sedang berlaku di hadapan mata kita sekarang? Adakah kita hanya mahu menjadi penonton yang pasif; sekadar mengucapkan rasa sedih dengan kejadian yang berlaku ataupun kita ingin menjadi pembela kepada kumpulan lemah yang dizalimi?

Tepuklah dada dan tanyalah iman kerana Rasulullah pernah bersabda;

“Orang Islam itu bersaudara, tidak boleh menzalimi dan mengkhianatinya. Sesiapa yang menolong saudaranya, nescaya Allah akan menolongnya. Sesiapa yang menghilangkan kesusahan orang Islam nescaya Allah akan menghilangkan daripadanya kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang menutup keaiban orang Islam nescaya Allah akan menutup keaibannya pada hari kiamat.”

Hadis Riwayat Ahmad

(Artikel ini diolah daripada tulisan asal oleh Pengerusi BDS Malaysia, Prof. Dr. Mohd. Nazari Ismail di laman sesawang https://www.astroawani.com/berita-dunia/kenapakah-kesengsaraan-warga-palestin-masih-berterusan-298115)

Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close