Soal JawabTokoh dan Sirah

Nuzul Quran: 17 Ramadhan ataupun Lailatul Qadar?

Setiap kali tibanya Ramadhan, ada satu peristiwa berkenaan mukjizat Rasulullah yang masih dilihat, dibaca dan dihayati oleh umat manusia sehingga kini. Apakah peristiwa tersebut?

Itulah peristiwa Nuzul Quran, ataupun penurunan Al-Quran.

Peristiwa ini dirakamkan dalam Al-Quran melalui tiga ayat yang jelas menunjukkan bahawa ia diturunkan pada bulan penuh kemuliaan, iaitu Ramadhan.

Ayat-ayat tersebut terkandung dalam surah Al-Baqarah (ayat 185), surah Ad-Dukhan (ayat 3) dan surah Al-Qadr (ayat 1).

Bagaimanapun, timbul persoalan tentang tarikh sebenar penurunan Al-Quran. Adakah benar ia berlaku pada 17 Ramadhan? Mengapa ayat-ayat Al-Quran ini pula menyatakan ia turun pada malam Lailatul Qadar? Bukankah Lailatul Qadar berlaku pada 10 malam terakhir?

Sebelum kita meleraikan kekeliruan ini, adalah lebih baik untuk kita fahami peristiwa penurunan Al-Quran mengikut turutan.

Menurut para ulama’, Al-Quran diturunkan kepada Rasulullah melalui tiga peringkat.

1. Allah menurunkannya ke Luh Mahfuz

Al-Quran juga dikenali sebagai Kalamullah. Pada peringkat pertama ini, Allah sebagai Tuhan sekalian alam sudah menetapkan segala-galanya melalui kalamNya. Malaikat sendiri menyaksikan bahawa segala yang sudah ditentukan Allah di Luh Mahfuz benar-benar berlaku.

2. Dari Luh Mahfuz turun ke Baitul Izzah (langit dunia)

Peringkat kedua ini juga diturunkan secara sekaligus. Lembaran-lembaran Al-Quran tersimpan disini sebelum menunggu masa untuk diturunkan ke bumi.

3. Dari Baitul Izzah turun ke bumi

Peringkat terakhir penurunan Al-Quran berlaku secara beransur-ansur kepada Rasulullah. Masa yang diambil untuk keseluruhan isi Al-Quran ini turun adalah 23 tahun; 13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah. Pada peringkat ini, ia tidak turun sekaligus agar baginda tidak terbeban dengan pengisian yang terlalu banyak dalam tempoh masa yang singkat.

Justeru, adakah berlaku khilaf (kekeliruan) tentang tarikh Nuzul Al-Quran?

Apabila kita memahami proses penurunan Al-Quran, maka tahulah kita bahawa tidak ada yang bercanggah. Malam Lailatul Qadar, Al-Quran diturunkan sekaligus daripada Luh Mahfuz ke Baitul Izzah, manakala 17 Ramadhan adalah hari pertama baginda Rasulullah menerima wahyu.

Semoga Ramadhan kali ini memberi lebih makna kepada kita, terutama berpuasa dalam keadaan norma baharu. Salam Nuzul Quran 1442H!

Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close