Artikel

Ramadhan Datang Lagi!

Dalam mendepani dunia yang dijangkiti wabak mematikan saat ini, Allah Taala dengan penuh kasih sayang masih sudi meminjamkan kita nyawa untuk bernafas di bulan Ramadhan.

Antara 12 bulan dalam Islam, Ramadhan antara satu-satunya yang disebut dalam doa seperti yang diajarkan oleh Rasulullah.

“Wahai Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya’aban, dan berkatilah kami jua pada bulan Ramadhan.”

(Hadis Riwayat Ahmad dalam Musnad)

Bersandarkan hadis ini dan kehidupan para sahabat serta sarjana Islam era salafussoleh, mereka amat menanti-nantikan bulan penuh kemuliaan ini. Ada yang sudah menghantar permohonan kepada Allah enam bulan sebelum Ramadhan menjelma.

Sehingga begitu sekali kecintaan mereka kepada Ramadhan. Mengapakah berlaku sedemikian?

Tidak lain tidak bukan, ia adalah kerana ganjaran amalan yang luar biasa dijanjikan Allah kepada sesiapa yang bersungguh-sungguh menghidupkan Ramadhan.

Hari pertama menjejakkan kaki ke gerbang Ramadhan, pintu-pintu syurga terbuka seluasnya manakala pintu neraka ditutup rapat. Tidak hanya itu, amalan sunat jika dikerjakan menyamai pahala amalan wajib, apatah lagi amalan yang sememangnya wajib.

Oleh itu, perkara pertama yang perlu kita lakukan saat memasuki bulan Ramadhan adalah melafazkan kesyukuran.

Syukur, kerana kita masih diberi nyawa untuk menambah amal kebaikan. Syukur, kerana kita masih diberi peluang mengejar rahmat dan pengampunan Allah Taala. Syukur, kerana Allah masih sudi meminjamkan satu daripada sekian nikmat yang tidak mampu kita kira.

Bagaimana kesyukuran ini perlu dilakukan?

Di sinilah pentingnya untuk kita memahami inti Ramadhan. Umat Islam diperintahkan berpuasa di bulan Ramadhan, supaya memperoleh ketakwaan. Bagi meraih ketakwaan itu, ada dua elemen yang perlu dititikberatkan.

Kawal diri dan bangunkan diri.

Puasa bermakna kita perlu menahan ataupun mengawal diri. Tidak timbul isu untuk kita mengelak daripada makan dan minum di bulan puasa, tetapi bagaimana pula dengan perkara yang melalaikan?

Nah, tepuk dada tanya iman kita.

Begitupun, elemen kedua berfungsi untuk menyeimbangkan aktiviti sepanjang bulan Ramadhan.

Apabila kita sudah mengenalpasti beberapa perkara yang perlu dielakkan, misalnya bermain telefon pintar secara berlebihan, kita boleh menggantikan dengan perkara yang membangunkan diri. Contohnya, menonton dokumentari tentang sambutan Ramadhan di luar negara, ataupun mengulangkaji hal-hal berkaitan puasa Ramadhan.

Melalui senarai dan susunan aktiviti sepanjang bulan Ramadhan yang kita buat tadi, dengan izin Allah masa kita akan terisi dengan perkara-perkara yang mendatangkan kebaikan. Syaratnya cuma dua; niat yang benar dan kesungguhan melakukannya.

Bak kata pepatah, jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.

Akhir sekali, mintalah keampunan kepada Allah kerana sifat pemurah Allah sangat luar biasa pada bulan ini. Rasulullah bersabda bahawa Allah sendiri yang akan memberi ganjaran kerana kita berpuasa semata-mata keranaNya.

“Setiap amalan baik anak Adam akan digandakan dengan sepuluh seumpamanya sehingga tujuh ratus gandaan. Allah SWT telah berfirman: Kecuali puasa, kerana aku yang akan mengganjarinya, buat mereka yang meninggalkan syahwat, makan minumnya kerana Aku.”

(Hadis riwayat Muslim)

Oleh itu, marilah sama-sama kita berlumba mengumpul pahala dan pasanglah harapan agar dipertemukan pula dengan satu malam yang dirahsiakan Allah, sedang keberkatannya melebihi 1000 bulan.

Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close